Kaga & Kondongoi
INSPIRATOR
Keturunan Kaga dan Kondongoi
Kaga dan Kondongoi telah dikurniakan 6 orang anak, iaitu Rantau, Galidau, Linog, Bali, Gurod, dan Kembiong CARTA. Berasaskan keluarga ini, lahir beberapa orang yang sempat dirakam sebagai inspirasi keluarga ini terutama kepada generasi mendatang.
TAN SRI HAJI ABDUL GHANI BIN GILONG BIN RANTAU
(POLITIK)
HAJI SADI BIN TAHIR BIN RANTAU
(GURU)
HAJI SAIDI BIN HAJI RASHIN BIN GALIDAU
(GURU)
HAJI MASLIN BIN PATOH BIN GALIDAU
(PETANI)
LATIFAH BINTI HJ AMAN BIN RANTAU
(PETANI)
Antara anak cucu-cucu Rantau dan Galidau.
Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj Abdul Ghani Gilong
Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Ghani Gilong merupakan tokoh politik veteran yang dilahirkan daripada etnik Dusun, wakil rakyat dan ahli parlimen PERTAMA dari Ranau, Sabah. Beliau dilahirkan pada 30 Mei 1932 di Kampung Gondohon, Bundu Tuhan, Ranau, Borneo Utara British (kini Sabah). Tan Sri Abdul Ghani Gilong dikenang sebagai salah seorang tokoh penting dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963 serta pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan. Antara sumbangan beliau semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Kerja Raya adalah pembinaan jalan Kota Kinabalu-Ranau ke Sandakan, serta penglibatan dalam perancangan beberapa projek infrastruktur seperti Lebuhraya Karak, Terowong Genting Sempah, bangunan utama Kampus Institut Teknologi MARA di Shah Alam, dan Empangan Temenggor di Perak, dan juga Jalanraya moden Kota Kinabalu - Beaufort, Jalanraya / Jejambat Bandar Kuala Lumpur yang pertama, dan membina Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Subang Kuala Lumpur (Erwan Gunda, 2024).
Tan Sri Abdul Ghani Gilong telah berkhidmat di bawah dua Perdana Menteri, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak Hussein. Selain itu, Tan Sri juga pernah memegang jawatan Menteri Kehakiman, Menteri Pengangkutan, serta pemangku Menteri Kesihatan dan Pertanian antara tahun 1968 hingga 1978, dan menjawat jawatan sebagai Menteri Kerja Raya selama tujuh tahun. Sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam proses pembentukan Malaysia, pada tahun 2010, Tan Sri Abdul Ghani Gilong dianugerahkan sebagai salah seorang Tokoh Malaysia. Beliau meninggal dunia pada 6 Mac 2021 pada usia 88 tahun di Kota Kinabalu, Sabah.
Datuk Sangau Gunting
Datuk Sangau Gunting merupakan seorang ahli kehakiman bagi Sabah dan Sarawak. Beliau dilahirkan pada tahun 1950 di Ranau, Sabah. Beliau memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman dan akhirnya dinaikkan pangkat ke ahli Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada Disember 2004. Sebelumnya, beliau juga berkhidmat sebagai Peguam di Mahkamah Sabah dan Sarawak sebelum dinaikkan pangkat ke Judicial Commissioner. Akhirnya Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak.
Tn Hj Sadi Bin Tahir
Tuan Hj Sadi Bin Tahir, atau dikenali juga sebagai Cikgu Tuan Haji Sadi, adalah antara individu terawal menjadi guru di Daerah Ranau pada pertengahan tahun 1950-an. Beliau menjalani kursus perguruan di Maktab Perguruan Kent, Tuaran dan Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Perjalanan hidupnya sebagai guru membawa beliau merantau di beberapa daerah di Sabah, antaranya Pulau Tambisan, Sandakan, Tambunan, Ranau, Petagas, Kota Kinabalu, Lahad Datu, dan lain-lain tempat. Sebagai pendidik, Cikgu Sadi pernah memegang pelbagai jawatan. Bermula daripada guru biasa ke penolong kanan dan guru besar, dan jawatan terakhirnya ialah sebagai Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu pada tahun 1983/84 dan Ketua PPD Daerah Ranau dari tahun 1984 sehinggalah tempoh persaraan wajib beliau pada 2 Julai 1990. Ketika mengajar di SRK Pulau Tambisan, antara pelajarnya ialah Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin (kini TYT Sabah Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji). Sebagai seorang ayah, Cikgu Sadi telah dianugerahkan sembilan orang anak (Yunus Yusadita Sadi, Cikgu Noraini Onnie, Cikgu Mohd. Tajuddin Sadi Tj Tasatra, Cikgu Hashimah, Cikgu Mohd. Jaldin, Cikgu Md Zaini, Cikgu Rodziah, Cikgu Hjh Rashidah, dan Mohd. Harris Ritchie Sadi), dan sebagai seorang guru, seramai tujuh orang anaknya turut menjadi guru, maka dia telah meninggalkan legasi dalam bentuk semangat dan dedikasi untuk mendidik generasi seterusnya.
Tn Hj Saidi bin Tn Hj Rahsin Bin Galidau
Hj. Saidi bin Hj. Rashin dilahirkan pada 5 Januari 1937. Pada usia mudanya, beliau memulakan persekolahan antara tahun 1947 hingga 1950 di bawah rumah rehat. Kemudian, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Kebangsaan Pekan 1 dari tahun 1951 hingga 1954, di mana beliau menggenggam cita-cita yang tinggi. Kerjaya beliau sebagai seorang pendidik bermula di Sekolah Kebangsaan Perancangan dari tahun 1954 hingga 1958. Beliau kemudian mengajar di Sekolah Kebangsaan Kundasang dari tahun 1958 hingga 1964, dan pada tahun 1964, beliau mengikuti kursus perguruan selama enam bulan di Tanjung Aru untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Setelah menamatkan kursus, beliau berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Tagudan Lama dari tahun 1964 hingga 1967, di mana beliau menjadi cahaya penerang ilmu bagi para pelajar. Hj. Saidi kemudian kembali ke Sekolah Kebangsaan Pekan 1, berkhidmat dari tahun 1967 hingga 1973 dengan penuh dedikasi dan kasih sayang dalam setiap ajaran. Pada tahun 1973, beliau memutuskan untuk berhenti dari dunia perguruan dan mula bekerja dengan Syarikat Dato' Ghani Gilong dari tahun 1973 hingga 1975. Setelah itu, beliau menyumbang tenaganya di Pejabat Berjaya Ranau dari tahun 1976 hingga 1984. Demikianlah kisah perjalanan hidup seorang guru yang penuh dedikasi, Hj. Saidi bin Hj. Rashin, yang telah meninggalkan jejak yang abadi dalam dunia pendidikan dan perkhidmatan.